Friday, December 30, 2011

KOMPILASI SAJAK PILIHAN 2010


KELAHIRAN

Berkurun lamanya kami menjulang namamu
Dalam bicara yang penuh makna
Kami dendangkan
Selawat dan syahadahmu
Lalu semerbak wangian bersama ditabur
Menjalar rahmat menebar alam
Kerana kau berpacu dengan waktu
Menyampaikan risalah secepat Buraq yang melangkah.

Tanggal keramat dan rahmat yang dicipta
Tidak mudah melupai
Sejarah lahirnya putera Abdullah
Lalu di sebuh yang bening
Pada hari Isnin 12 Rabiul Awal Tahun Gajah
Memancar sinar terang benderang
Melebar seluruh alam

Mari ……
Mari kita sambut dan rayakan dengan penuh kesyukuran
Kami persembahkan kepada Khalik Yang Maha Esa
Untuk kekasih kami Muhammad bin Abdullah.

Al-Amin..
          Lahirmu membawa obor suci
          Menggilap kekufuran yang merajahlela

Al-Amin..
          Lahirmu membawa rahmat seluruh alam
          Menggilap peradaban songsang yang menjalar
          Pada jiwa manusia yang tidak bermaya

Al-Amin …
          Lahirmu bersama kilauan nur iman
          Menggilap kealpaan yang memuncak di sanubari

Ya Rasulullah kekasih Allah……
Di saat manusia meraba-raba mencari sinar terang
Kau lahir bersamanya.

Ya Rasulullah pilihan Allah…
Di saat manusia hampir tumpas aqidah
Kau lahir bersama nur iman
  
Ya Rasulullah utusan Allah..
Di saat manusia rindukan tautan mahabbah
Kau lahir penyeri duka nestapa.

Coretan silam yang tidak pernah alpa
Suatu perjuangan menentang kekufuran
Ketika melepasi gurun dan pasir
Mereda untaian manik-manik hujan
Dan panas terik mentari
                   Rasulullah SAW dan sahabat
                   Tetap teguh semangat berdakwah
                   Tanpa gentar, jemu dan rasa takut.

Kegoncangan yang bertindih-tindih tumbu melata
Hinggap megah di bumi Mukarramah
Dan kedukaan yang berkampung
Menjalar diamuk resah
Ketika kekasih Allah
Bermunajat mengharap maghfirah
Doa restu dirapak sembah
          Oh Tuhanku..
          Tunjukilah umatku selurus-lurus perjalanan hidup
          Sesungguhnya mereka belum tahu
          Pedihnya ‘azabMu.

Ya Rasulullah….
Kami rindu senyumanmu

Ya Rasulullah….
Kami rindu kasihmu

Ya Rasulullah….
Kami rindu pimpinanmu

Ya Rasulullah….
Kami rindu syafa’atmu

Ya Rasulullah….
Rindu ini…..
          Kami hamparkan sepanjang hayat

08 JUN 2002
( ANTOLOGI SAPAAN BONDA 2002-DBP, CAWANGAN SABAH ) 

TASWIR

Menganyam bicara para Sufi,
Di tinta zaman yang pasti
Agar jendela hati
Mencorak peribadi.

Dengan tutur mulia
Mengindah bahasa
Kau lakar rindu
Di hujung waktu.

Taswir yang kau genggam
Amanah pasti dijulang
Walau bicara dari tinta zaman
Daulatkan amanah
Sabda Junjungan jangan dipersia.
  
BANGUNAN YAYASAN SABAH, KOTA KINABALU, SABAH
12 JUN 2006
JENDELA  SABAH-DBP, CAWANGAN SABAH

ALUNAN SUARA

Di kala,
Subuh sunyi
fajar pun
senyum sendiri ..
melihat qudrat Ilahi
sekeliling menjadi saksi.

Di sana,
muazzin berlagu
di sini,
syahadah dirindu
munajat,
zikir dan tasbih
alunan suara
memecah kesunyian.

Sinar mentari,
kan berlabuh
fajar pun tersipu..
sebentar lagi
siang menjelma
bertebarlah di muka bumi
mencari rezeki Ilahi

Oh….. Tuhan……
 
WAD MALE MEDICAL HQE,  SABAH.
15 OKTOBER 2006

'MAHA' MILIK ALLAH

Dalam ratap sendu,
yang penuh hibah
manusia boleh saja lupa padaNya
kemiskinan…..
kekayaan……
bukan penghalang
untuk mengangungkan kebesaranNya

Dialah,
Maha Besar
Maha Mulia
Maha Agung
Maha Perkasa
Maha Pengasih
Maha Penyang
Maha Pembimbing.

Bumi yang maha luas ini,
lauatan yang maha dalam ini
langit yang maha tinggi  ini
bulan dan mentari yang bersinar
silih berganti  ini,
petir, badai dan hujan ini
semuaNya milik Ilahi

Sesungguhnya,
Dialah
Maha Mengetahui
Maha Pengampun
Maha Kaya
Maha Pelindung
Maha Pemelihara
Maha Mengusai
Maha Mengasihani.

Kita yang hidup ini,
Hanyalah sementara,
Kekayaan hidup sementara
Kemiskinan sementara
Sampai ketikanya,
Kita akan pulang
Ke perkampungan abadi.

SEMPORNA, SABAH.
27 OKTOBER 2006

MELEMPARKAN DENDAM

Aku lara
dalam kamar yang maha sepi
kerana di luar sana
gelodak peleceran
bangkit cemar noda
dan nista
melempar dendam
yang tak pernah berkesudahan.

alam kamar
yang maha sepi
tiba-tiba…..
bayangan saujana
kelam di hujung senja
M e r p a t i   P u t i h
yang berterbangan

terjunam
terhumban
terpampang
terkangkang
tersadai
terjuntai
terkulai
pada dahan yang longlai.

Semasa Kursus Jurunikah Peringkat Negeri

Hotel Marcopolo, Tawau Sabah.
04 Disember 2006

USANGKAH WAJAHKU

ya Rabbi
sedang amalku
tak pernah henti
sedekah jariahku
sukar ditandingi
zikir munajatku
tak terhitung lagi
di wajah sejadah
aku setia menanti
melewati usia
yang kian senja.

Hanyutkah aku
ya Rabbi

sedang silaturrahim

ku genggam erat sejati
walau jadi bara api
ku pertahankan iman dan taqwa
ku pahat cinta abadi
bersulam kemuliaan diri
ku anyam benih kasih sayang
di kebun perdamaian
ku sulam segalanya
dengan tenunan redhaMu
melewati batas waktu
yang kian sirna
di halaman teratak tua
abadilah aku di sana
bersama ……..
                   iman
                             amal dan
                                      taqwa.
 
Pulau Bakung-Bakung, Semporna, Sabah
03 Disember 2006

KALAU AKU PULANG

Kalau aku pulang
ke Kampung Abadi
sedang bekal tidak mencukupi
aku akan terpinggir nanti
dari makam-makam yang soleh.

Kalau akau pulang
ke Kampung Abadi
sedang wajah ku hodoh
aku merana sendiri
bertemukan penghuni Hawiyah

Kalau aku pulang
ke Kampung Abadi
sedang anak-anak ku
belum kenal A B  C
tak pandai membaca jawi
tak pandai mengaji
mereka akan hanyut
dibawa gelombang waktu
sedang aku…
menaggung malu
di Kampung Abadi
melihat catatan di hadapan Ilahi

Pulau Bakung-Bakung, Semporna, Sabah
03 Disember 2006

BAGINYA SEGALA 'MAHA'

Wahai Zat yang Maha Agong
pemberi rahmat seluruh alam
tiada TUHAN selain ALLAH
bagiNya segala MAHA.

Dialah
Yang Maha Pengasih
lagi Maha Penyang

Dialah
Yang Merajai
Yang Maha Suci
Yang Memberi Keselamatan
Yang Memberi keamanan
Yang Memelihara
Yang Maha Perkasa
Yang Maha Mengalahkan

Dialah
Yang Mempunyai Kebesaran
Yang Maha Menciptakan
Yang Maha Melepaskan
Yang Maha Memberi Bentuk
Yang Maha Pengampun
Yang Maha Memaksa

Dialah
Yang Maha Pemberi
Yang Maha Pemberi Rezeki
Yang Maha Pembuka (pintu rahmat)
Yang Maha Mengetahui
Yang Maha Mempersempitkan rezeki
Yang Maha Melapangkan rezeki
Yang Maha Merendahkan darjat
Yang Maha Memuliakan
Yang Maha Merendahkan
Yang Maha Mendengar
Yang Maha Melihat.
 
Dialah
Yang Maha Menetapkan hukum
Yang Maha Adil
Yang Maha Lembut
Yang Maha Waspada
Yang Maha Agung
Yang Maha Pengampun
Yang Maha Berterima Kasih
Yang Maha Tinggi
Yang Maha Besar.

Dialah
Yang Maha Memelihara
Yang Maha Memberi Makan
Yang Maha Memberi Perhitungan
Yang Maha Mempunyai Kebesaran
Yang Maha Mulia
Yang Maha Mengawasi
Yang Maha Memperkenankan
Yang Maha Luas
Yang Maha Bijaksana
 
Dialah
Yang Maha Mengasihi
Yang Maha Mulia
Yang Maha Membangkitkan
Yang Maha Menyaksikan
Yang Maha Benar
Yang Maha Mengurus
Yang Maha Kuat
Yang Maha Kukuh
Yang Maha Melindungi
Yang Maha Terpuji
Yang Maha Menghitung
Yang Maha Memulai
Yang Maha Mengembalikan.
 
Dialah
Yang Meghidupkan
Yang Mematikan
Yang Maha Hidup
Yang Maha Berdiri  Sendiri
Yang Menemukan
Yang Mempunyai Kemuliaan
Yang Maha Esa
Yang Menjadi Tempat Memohon dan Mengadu
Yang Maha Kuasa
Yang Memegang Kekuasaan
Yang Mendahului
Yang Mengakhiri
Yang Maha Awal
Yang Maha Akhir
Yang Maha Nyata KekuasaanNya
Yang Maha Ghaib ZatNya
Yang Menguasai
Yang Maha Tinggi
Yang Maha Baik
Yang Maha Menerima Taubat
Yang Maha Belas Kasihan
Yang Memiliki Kerajaan
Yang Mempunyai Keagungan dan Kemuliaan
Yang Maha Adil
Yang Maha Mengumpulkan
Yang Maha Kaya
Yang Maha Memberi Kekayaan
Yang Maha Mempertahankan
Yang Maha Membuat Bahaya
Yang Maha Memberi Manfaat
Yang Menjadikan Cahaya
Yang Maha Memberi Petunjuk
Yang Maha Menciptakan
Yang Maha Kekal
Yang Maha Tetap Ada setelah musnahnya segala makhluk
Yang Maha Pandai
Yang Maha Sabar
Yang Tidak Ada Sesuatu Yang MenyamaiNya
Dan Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Pulau Bakung-Bakung, Semporna, Sabah
03 Disember 2006


ARCA WARGA BERDAULAT

Kau pncetus
Minda berwawasan,
Melukis sejarah rindu,
Pada wajah
pencinta bahasa
Yang gagah
Berdiri  di penats dunia

          Kupinta,
          Jati dirimu tegak teguh berdiri
          Mendepani gelora bahasa.

Kau arcakan
Warga berdaulat
Dengan mutiara bahasa
Santun budaya,
Walau langkahmu semakin berliku
         
          Kupinta
          Tekad dan harapanmu
          Penyuntik jiwa kosong budi

Kau gilap malam suram
Dengan gendang puisi cinta
Mendepani wawasan maya
Sedang malam kelam
Tidak mampu mengheret
Tafakur tidurmu

          Kupinta
          Mimpi  ngerimu
          Mewarnai sejarah rindu
          Menentang petualang bahasa.
 
 “ RESAM ” ANTLOGI PUISI SEMPENA JUBLIS EMAS DBP, SABAH.
12-18 JUN  2006


HAYAT BAHASA

Kau berdiri
Dengan tongkat pusaka abadimu
Bukan si buta
Bukan juga si tua
Di kiri dan kananmu
Ada yang kagum
Tak kurang juga yang membisu.

Kau berdiri
Dengan tongkat pusaka abadimu
Menunjung mimpi perdana
Menyusun buku reksaksa
Khazana nenek moyang ini
Jangan dipersia.

Kau berdiri
Dengan tongkat pusaka abadimu,
Mewarnai insan-insan tandus jiwa
Setiap warga silih berganti
Kunjung mengunjung tak henti
Kerana di halamanmu
Terbuka luas ilmu
Kerana kau adalah
          Gedung ilmu
          Khazanah ilmu
          Titipan ilmu
          Pusat ilmu
          Laluanilmu
Para sarjana tua muda
Para ilmuan luar dan dalam
Para pengkaji ilmu sejarah
Bahkan mereka pencinta ilmu
Tak pernah jemu
Melangkah dengan penuh harap
Kau tetap berdiri megah
Sebagai
          DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA
Pemelihara hayat bahasa
Di persada dunia.

“ RESAM ” ANTLOGI PUISI SEMPENA JUBLIS EMAS DBP, SABAH.
12-18 JUN  2006


ANTARA WANG DAN BUDI BAHASA

HIDUP MEWAH TANPA BUDI BAHASA
KOSONG JIWA
HIDUP BERGAYA TANPA TUTUR MULIA
IMAN PUNAH

HIDUP MEWAH,
HIDUP BERGAYA,
HIDUP MEGAH,
HIDUP BERADA,
HIDUP KAYA RAYA,
SEMUANYA TIPUAN BELAKA
ANDAI KITA LEKA,
TIADA SANTUN BAHASA
LALU KELIRU …..
SIAPA KITA ?
DARI MANA ASAL KITA ?
KEMANA PERGINYA KITA ?
UNTUK SIAPA KITA ?
BUAT APA KITA ?

CERMINLAH DIRI,
MUHASABALAH DIRI.
ELOKKAN BUDI PEKERTI
DAULATKAN BAHASA PUSAKA

DULU ……..
AYAH SELALU BERCERITA
HIDUP HENDAKLAH IKUT
SUNAH NABI,
SEDERHANA DIRI,
AKHLAK TERPUJI,
IBADAH TAK HENTI,
TAK PERNAH MEMAKI,
BAIK MENGURUS DUNIAWI,
BIJAK MENGURUS UKHRAWI,
DIRINYA QUDHWAH HASANAH,
CERMINAN BUDAYA BANGSA.

DULU……
GURUKU PERNAH BERKATA
“ WANG ADALAH RAJA DUNIA ”
BOLEH BUAT APA SAJA,
DAN GURUKU BERKATA LAGI,
KERANA WANG…….
ORANG BISA TEMBERANG,

KERANA WANG……
ORANG BISA CEKAK PINGGANG,
KERANA WANG…..
ORANG TIDAK TOLEH BELAKANG,
KERANA WANG……….
ORANG BISA BUAT APA DIA SUKA,
KERANA WANG……...,
ORANG LUPA DARATAN,
KERANA WANG……..
ORANG BISA HILANG KAWAN,
KERANA WANG …….
ORANG  BISA  MELUPAKAN
PERINTAH  TUHAN
SEDANGKAN BAHASA
MERAWAT BICARA WARGA
MEMULIAKAN BANGSA.

DULU……….
IBU JUGA SELALU BERKATA,
PENUH SANTUN  BIJAKSANA
“ BELAJARLAH RAJIN-RAJIN,
KITA DARI GOLONGAN MISKIN,
ZAMAN PASTI  BERPUSING,
JANGAN SEPERTI AYAHMU,
CUMA MAMPU MENUBAH IKAN,
TIDAK PUNYA KEKUATAN,
JAUH SEKALI HARTA  DITINGGALKAN ”

IBU BERKATA LAGI,
“ DIA CUMA PANDAI MENGAJI QURAN,
JADI GURU SUKARELAWAN,
MENGAJAR ANAK-ANAK ORANG,
ITULAH PUSAKA DITINGGALKAN,
BUDI BAHASANYA ORANG SUKA,
LAYANANNYA MESERA BERGAYA
TIDAK PERNAH MENINGGI SUARA,
 
JAUH  SEKALI ,
BURUK BICARA
MENIPU SUKA-SUKA,
BERGAUL TANPA ETIKA

KINI AKU SEDAR
KATA-KATA  AYAH, IBU DAN GURU,
MEMANG BENAR BELAKA,
HIDUP IKUT SUNAH NABI,
BARKATNYA DAPAT DIRASAI.
HIDUP BERMANDI WANG RINGGIT,
MUDAH LUPA DIRI,
KAWAN JADI LAWAN,
MUSUH JADI TEMAN,

SEDANG……….
HIDUP SEDERHANA,
ORANG TAK PANDANG  MUKA,
KADANG-KADANG TAK MENEGUR SAPA.
HIDUP BERBUDI BAHASA
ORANG SUKA,
SAHABAT SUKA,
NABI SUKA
ALLAH PUN SUKA

PESAN IBU…..
TEPAT SEKALI,
HARI KE HARI,
PERUBAHAN ZAMAN PASTI  TERJADI
DAN TIDAK SAMA DENGAN DULU LAGI
TERIMA KASIH AYAHKU,
TERIMA KASIH IBUKU,
TERIAM KASIH GURUKU,
NASIHAT KALIAN AZIMAT SEPANJANG HAYAT
 
“ RESAM ” ANTLOGI PUISI SEMPENA JUBLI  EMAS DBP, SABAH.
12-18 JUN  2006

BICARA BUAT PENYAIR

Ingin Sekali Aku
Berdiri Merenung Wajahmu
Mengenal Dari Luahan Hatimu
Betapa Pun Kau Bersembunyi
Di Balik Tabir Kelam
Namun Kau Tetap Melempar Cahaya

Ingin Sekali Aku
Berdiri Melangkah Bersamamu
Meneroka Angkasa Fikrahmu
Mewarna  Halaman Qalbu
Yang Terkubur Di Belentara
Kau Bajai Bunga-Bunga Kembang
Mekar Melakar Sejarah Zaman Berzaman

Ingin Sekali Aku
Lelap Di Ribaanmu
Mendengar Lagu Puisi Syahdu
Kau Lagukan Dengan Tenunan Kasih
Kaulah Segala Penyair Merubah Waktu
Tidak Terpinggir Rupanya Bicaramu
Walau Sesekali Kau Dianggap Penyair Jalanan

Ingin Sekali Aku
Terbang Ke Awan Biru
Bersama Burung-Burung Nun Jauh
Menghirup Secangkir  Dari Anyaman Rindu
Kaulah Segalanya Pemacu Langkah
Melemparkan Gusar Yang Melingkar
Di Akal  Kental.

“ RESAM ” ANTLOGI PUISI SEMPENA JUBLIS EMAS DBP, SABAH.
12-18 JUN  2006

PENCETUS FIKRAH BERMARWAH

Di sinilah
Kita garapkan citra bahasa.
Kita susungalurkan bahasa
Santunan budaya
Biar langit cipta
Yang menghala ke muka
Menabur warna cerah dan bisa
Menjunjung titah

Di pusara ini,
Kami nukilkan
Karya abadi
Biar anak-anak kecil seni
Bisa mentafsir segala makna
Barangkali mereka punya idea
Dan mampu melawan arus perdana
          kita listarikan bahasa jiwa bangsa
          kita taburkan catuan cintailah bahasa kita
          kita gembar-gemburkan wacana bahasa

Kami pendaulat sastera
Pewarna minda sengsara
Pencetus fikrah bermarwah
Tidaklah mudah menyimpang bahasa
          kami pewaris,
          kami juga penerus
          kesinambungan silam
Tidak rela melihat bahasa sengsara
Di persada kota
Di persada desa
Atau di mana-mana.

Di pentas ini,
Lagu puisi masih berkumandang
Walau telah berabad lamanya tetap dijulang
Dan tidak akan terpadam
Selagi hayat dikandung badan.

“ RESAM ” ANTLOGI PUISI SEMPENA JUBLIS EMAS DBP, SABAH.
12-18 JUN  2006

 MALAYSIA WARGANYA MERDEKA

Ini rimbunan pohon yang cukup bajanya
Jagalah ia dengan penuh saksama
Biar buahnya lebat dan manisnya semanis madu
Agar hidupmu
Dengannya tidak meminta-minta dan melarat
Menyusur pohonan warga bangsamu

Ingatlah bangsaku,
Menjaga warga terhormat
Adalah tanggungjawabmu
Jangan leka dan terpesona dengan tipy daya
Warga melarat
Kerana mereka adalah penabur maha fitnah.

Andainya pohon ini telah subur
Dan lebat buahnya
Tidak dijaga dengan saksama
Bangsamu akan melarat dan menjadi
Warga asing di negara sendiri.

Malaysia warganya merdeka
Budayanya penuh sopan berbudi bahasa
Warganya terbela di mana jua,
Di desa terpencil
Bahkan di kampung kecil
Semuanya dijaga sama adil

Infaslah bangsaku
Menjadi warga terhormat
Adalah impian semua rakyat
Jangan kau sisihkan semua usaha sahabatmu
Jangan kau pinggirkan semua nasihat nenek moyangmu
Kerana itu semua
Bukan budaya bangsa merdeka
Bahkan bukan budaya warga Malaysia

Jika rimbunan pohon ini kandas kau jaga,
Bagaimana mungkin kau bias
Menyalakan obor perjuangan
Kerana pohon yang kami tanam itu
Adalah nadi penggerak jati diri bangsa
Dan harapan negara
Hingga kau boleh mentafsir
Antara kawan dan lawan di persada dunia.

KG. MUSOLLAH, SEMPORNA
12 FEBURAURI 2001
( RTM  SABAH, UNIT SIARAN PASUKAN KESELAMATAN )

NILAI BUDI SEORANG GURU

Aku seorang guru,
Gelaran terpuji merata dunia
Yang memikul amanah Allah,
Memanusiakan manusia
Yang tidak kenal
          dikenalkan
Yang tidak mengerti
          dimengertikan
Ilmu dicurahkan
Tanpa mengenal darjat.

Aku seorang guru,
Berbekal segunung azam
Merentasi onak dan duri
Dedaunan  melambai mesra
Menyambut kehadiran arca mulia

Aku seorang guru
Di sanjung kerana bakti
Peluh jatuh tanpa berganti
Nilai tinggi….
Kerana ada insan menagih simpati
Bekal mengharungi arus kehidupan

Aku bangga menjadi seorang

          G        U        R        U

Harapan setiap insan
Untuk esok yang masih panjang.

SK. SISIPAN, SEMPORNA
16 MEI 1999
( DIDEKLAMSI OLEH ADIK SYIKIN PINTAL SEMPENA HARI GURU )
 

SINAR MENTARI

Guru kehadiranmu umpama sinar mentari
Di ufuk timur
Bersinar tanpa jemu
Menerangi setiap kegelapan

Guru
Dirimu umpama lilin
Sanggup membakar diri
Menerangi kegelapan malam
Demi kejayaan orang lain
Kau sanggup bergadai nyawa
Bertugas di mana saja
Demi menggilap bakat dan potensi
          Generasi mendatang.

Guru
          Dirimu mendidik penuh kasih
                   Penuh luhur dan suci
                             Sesuci embun pagi
                                      Hadir tanpa jemu

          Guruku
          Kehadiranmu
laksana sinar mentari
laksana lilin membakar diri
laksana pendekar di medan juang
sanggup berkorban
sekali pun jauh dari keluarga.

SK. SISIPAN, SEMPORNA
20 MEI 1999
( PERTANDINGAN DEKLAMSI PUISI SEMPENA HARI GURU
PERINGKAT SEKOLAH KEBANGSAAN SISIPAN 25.05.99)


LILIN SEORANG GURU

Guru,
Dirimu umpama lilin membakar diri
Menyinari hidup anak-anak watan
Yang dahagakan ilmu
Kerana ilmu adalah penentu
Kejayaan di masa hadapan

Guru
Engkaulah pendidik anak bangsa
Pendokong cita negara
Demi mencapai impian
Yang kian mencabar

Guru
Pengorbananmu adalah senjataku
Untuk terus maju
Melangkah memburu cita-cita
Kerana di sana harapan ibu bapa
Menanti realiti yang pasti

Guruku
Keranamu aku di sini
Akan bawa nasihat dan ajaranmu
Berenang ke lautan ilmu
Yang kian mencabar

Terima kasih guruku…
Jasa dan pengorbananmu
Azimat sepanjang waktu
 
SK. SISIPAN, SEMPORNA
20 MEI 1999
( PERTANDINGAN DEKLAMSI PUISI SEMPENA HARI GURU
PERINGKAT SEKOLAH KEBANGSAAN SISIPAN 25.05.99)

KEJAYAAN  MILIK SEMUA ORANG

          Kau kecapi kejayaan hari ini
  Benarlah itu buktinya kerajinanmu hari semalam
        Kau kecapi kegagalan hari ini
Benarlah itu buktinya kemalasanmu hari semalam.


Kejayaan tidak pernah memilih apa jua
Pangkat, darjat. Warna kulit, atau sekalipun keturunan
Kita pernah membaca
Sejarah keagungan ilmuan dahulu
        Kejayaan ahli ilmuan hari ini
            Mereka gigih
Mengulangkaji pelajaran yang lalu
Sanggup bertarung dengan rasa;
Bosan, malas, mengantuk, bisikan syaitan

Anak-anakku…..
                   Bangunlah dari lena yang panjang
     Anjakkan nasib berkali ganda
Jangan biarkan orang lain memikir tentang kerjaya
Sedang anak-anaku masih berselimut
Dalam kamar yang penuh menggoda

Tanyalah pada guru;
Kenapa mereka jadi qudwah hasanah
Tanyalah pada peguam
Bagaimana mereka menang berbicara,
Tanyalah pada doktor,
Bagaimana merawat pesakit
Tanyalah pada siapa jua,
Apa perlunya berjaya dalam cita-cita.

SK. SISIPAN, SEMPORNA
20 MEI 1999
( PERTANDINGAN DEKLAMSI PUISI SEMPENA HARI GURU
PERINGKAT SEKOLAH KEBANGSAAN SISIPAN 25.05.99)

PSS  SUMBER PENEMUAN ILMU

Bangunanmu tersergam indah dan gagah
Suasana bersih dan nyaman udara
Tebaran bunga menghias mata
Setiap pengunjung
Bertandang tanpa jemu
 
Di dalammu
Hiasan pelbagai lukisan
Carta pengajaran dan buku bacaan,
Majalah, akhbar dan buku skrap
Menghias rak menjadi menawan

Engkaulah umpama lautan ilmu
Berkilauan bak mutiara
Di dasar lautan
Sekalipun ditenggelami air
Ia tetap bersinar.

Pelbagai aktiviti rangsangan
Bahan motivasi dan galakan
Untuk murid bercambah fikiran
Kerana setiap bakat perlu digilap
Untuk menjadi murid mulia
Berbakti pada nusa
 
Engkaulah
                   Pusat penemuan ilmu
Engkaulah
                   Jambatan ilmu
Engkaulah
                   Gedung ilmu
Engkaulah
                   Rakan karibku

SK. SISIPAN, SEMPORNA
20 MEI 1999
( PERTANDINGAN DEKLAMSI PUISI SEMPENA HARI GURU
PERINGKAT SEKOLAH KEBANGSAAN SISIPAN 25.05.99)
 

SEKOLAHKU (KHAS UNTUK SK. SISIPAN)

Sekolahku
Tegak teguh nun……
Di Pulau Bumb-Bum.
Bangunanmu indah dan gagah
Tersergam di bumi bertuah
Ratusan pelajar penyerinya
Guru silih berganti
Penyubur semangat jaya

Sekolahku
Rentak dan gaya pelajarmu berbeza
Ilmu dicurah disiplin diasah
Sebagai bekalan di hari muka
Agar masa depan lebih bermakna.

Sekolahku
Cantik dan ceria suasana
Dihiasi pelbagai bunga
Kembang merata di sini sana
Mewujudkan suasana
Ceria di pandang mata

Terima kasih sekolahku
Terima kasih guruku
Jasa dan pengorbananmu
Keujadikan sumber inspirasi
Berlari ke tangga jaya.

PONDOK  ANBIA  SK. SISIPAN, SEMPORNA
15 APRIL 1999

TEKAD DAN HARAPAN

Kepadamu
Ibu dan bapa……..
Daku mengharapkan belaian
Kasih dan saying
Pimpinan dan tunjuk ajar
Agar cita-cita menjadi kenyataan
Di hari yang mendatang

Kepadamu
Guru-guruku…..
Curahkanlah ilmu yang berguna
Kepada semua anak bangsamu
Kami terima dengan redha
Ikhlas dan setia
Demi mengecapi
Cita dan harapan
Ke mercu Gemilang

Kepadamu,
Warga dunia….
Setelah kami berjaya
Dan serong memimpin,
Teguran dan tunjuk ajar
Wajar diterima
Kerana kami adalah
Pewaris perjuangan
Mengekalkan Kemerdekaan

TERATAK TUA SK. SISIPAN, SEMPORNA
10  APRIL 1999
 

KITA ADALAH BANGSA MERDEKA


Kita adalah bangsa merdeka,
Yang bernaung
Pada ketentuan Ilahi,
Yang mendaulatkan pertiwi,
Kerana sebutir bijih benih
Akan tumbuh
Dan bercambah,
Pelbagai arah .

Kita adalah bangsa berdaulat,
Selagi bernaung jujur
Pada lingkaran kata hikmat,
Bukan atas kata sanjungan,
Yang seringkali memukau
Pada setiap benak
Dan cahaya keramat,
Kerana bangsa merdeka
Hidup seia sekata.

Kita adalah bangsa yang ampuh,
Di atas kata merdeka,
Kerana merdeka itu
Adalah milik semua,
Yang berpegang pada satu induk,
Seandainya serong,
Induk pecah dan berkecai
Serta punah jadinya.

Dunia ini kita imarahkan,
Dengan penuh sopan,
Dengan teriakan wira-wira nusa,
Dengan semangat satria bangsa,
Bukan sekadar menyandar buana,
Kerana daun-daun akan gugur,
Meski masih menabur jasa,
Pada cengkerik bernaung.

Kita hari ini,
Adalah keseinambungan generasi lalu,
Pewaris perjuangan bangsa,
Penerus cita-cita satria,
Yang tidak rela digadai,
Maruah,bangsa dan negara.

KG.  MUSOLLA, SEMPORNA
20 FEBRUARI 2000
( RTM SABAH, UNIT SIARAN PASUKAN KESELAMATAN )

SELAMAT DATANG ALAF BARU

Di bumi ini…
Di negara ini…..
Adalah kehidupan
Yang penuh menakjubkan
Segalanya penuh ranjau  berduri
Kerana bumi ini
Adalah penuh kilauan
Yang bermakna.

Bumi ini
Adalah sebuah kebun
Yang ditanam pelbagai benih
Yang tumbuh subur
Kerana keringat jujur mengalir
Setitik demi setitik
Penuh dangan nostalgia yang perit.

Bumi ini
Kami bajai semangat patreotisme
Kerana kami tidak rela
Menjadi mangsa penjajah
Kami bajai semangat itu
Kami sirami segalanya
Kerana nostalgia 1942
Penuh mengajar erti keperitan
Di hina…….
Di seksa……
Di kerah……
Setiap masa dan ketika
Kesempitan hidup bermaya
Rentak budaya diubah
Kerana itu….
Kami tidak rela dijajah.

Kini
Sejarah silam mengimbau lagi
31.08.1957
adalah tanggal keramat
laungan merdeka bergema megah
hasil perjuangan wira-wira negara
yang sanggup berkorban nyawa
hidup mati entah adanya
malam siang tiada di jaga
kerana perjuangan bangsa
menjanjikan keamanan
berkebun di bumi Malaysia.

Nostalgia ke 42 tahun
Bukan suatu igauan
Ia pernah terjadi nyata
Di atas pentas dunia ini
Dunia adalah
Saksi perjuangan
Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj
Saksi wira-wira merdeka
Yang pernah menyaksikan
Darah mengalir lesu
Dari tubuh-tubuh kerdil
Yang penuh bermaruah

Kini
Perjuangan merdeka kita punya
Kita hari ini adalah
Kesinambungan perjuangan
Genarasi lalu
Kita adalah pewaris
Yang punya hak
Untuk mara menyambung kemerdekaan.
Ayuh kita suburkan
Ayuh kita sirami
Dan bajai
Kata merdeka
Kita hamparkan ke mata dunia
Kita kibar dan layarkan
Jalur gemilang
Kerana alaf baru
Melambai mesra
Meninggalkan nostalgia semalam
Selamat datang alaf baru.
Kanku sambut kehadiranmu
Kan ku sujud kepadanya
Memohon restu
Dan keampunan
Buat mereka semuanya.

KG.  MUSOLLA, SEMPORNA
15 MAC 2000
( RTM SABAH,UNIT SIARAN

ERTI PERSAHABATAN

Teman,
Ketika alunan sang bayu
Melagukan puisinya
Ia bagaikan menggambarkan
Resahnya hati ini
Yang entah bila akan berakhir
Sebenarnya aku sendiri tidak  pasti
Namun yang pasti
Helaian sayap sang unggas
Menghiasi seri alam
Penuh menginsafkan diri.

Teman,
Ketika aku bersendirian
Aku seringkali di temani bayangan hidup
Yang mengundang kenangan silam
Yang sukar untuk dilupakan
Walau seketika cuma
Kerana persahabatan kita
Penuh dengan kemansan hidup
Yang tidak termadah.

Teman,
Tanpa kehadiranmu
Di sisi ini…..
Perjalanan hidupku terasa sangat menyedihkan
Ia bagaikan murungnya kaki langit
Bila tirai senja melabuhkan sayapnya
Keresahan terus membara
Walau ku kuatkakan tekad
Namun aku sendiri hampa
Hampa menanti ke hadiran
Bayu senja mengasyikkan.

Teman,
Persahabatan kita adalah kilauan mutiara
Sentiasa bersinar walau di lautan
Ia tetap menampakkan serinya
Begitulah persahabatan kita
Sekalipun……
Di batasi semudera seluas alam maya
Namun……
Aku tetap menjadi sahabatmu yang sejati.

KG.  MUSOLLA, SEMPORNA
15 APRIL 2000
( RTM SABAH, UNIT SIARAN PASUKAN KESELAMATAN )

SUMPAH ANAK BANGSA

Dalam sejarah yang penuh keangkuhan bangsa,
Manusia berlarian mengejar sinar yang tidak pasti
Langit cipta yang kian mendung
Cuma mampu didongak manusia berduyun
Bernanung pada awan berarak
Tiada ketentuan.

Mari…..
Mari kita canaikan perobek bangsa
Biar derita yang ditanggung sampai ke urat perdana
Lerai tanpa tumpah darah
Biar sengsara menyelimuti nurani durjana
Sampai ke urat saraf
Kita tentang mereka bukan kerana bangsa
Tetapi mereka penabur derita sengsara
Yang tidak punya sinar kehidupan yang pasti.

Sejarah silam tidak pernah punah
Titik hitam yang dicalit pada anak bangsa
Belum bias diungkai begitu mudah
Taburan awam hitam yang memayungi alam benua
Sungguh derita dan sengsara
Belum pasti berarak begitu mudah.

Bangun…..
Bangunlah anak bangsaku
Mari……..
Marilah kita tiupkan angin kencana
Biar awan hitam yang memayungi alambuana
Berarak belayar meninggalkan bumi ini
Tanah tumpah darah
Tanpa derita jiwa.

KG.  MUSOLLA, SEMPORNA
25 JUN 2000
( RTM SABAH,  UNIT SIARAN PASUKAN KESELAMATAN )

WIRA TANAH AIR

Di hutan belantaran ini
Pernah terukir satu memori duka
Yang masih subur dalam ingatan
Tika itu……….
Pahlawan negara
Leka…
Lalai….
Dan alpa…..
Lalu mereka tewas hampa
Ada yang syahid
Tercekik matinya
Ada yang terantai
Pincang kakinya
          Ada pula
Berlumuran darah
Dan negara pun dijajah.

Kini..
Semangat juang telah subur kembali
Mereka bangkit dengan tekad
Meranapkan keganasan penjajah
Yang mencabuli kemurnian
Dan keluhuran nusa
Mereka tidak mengenal erti ketewasan
Sekalipun nyawa dan badan
Jadi taruhan.

Dan mereka kini,
Berjuang nun di belantara
Menghadiahkan secebis pengharapan
Memohn restu
Buat semua jelata
Agar segalanya
Aman gemilang selamanya.

KG.  MUSOLLA, SEMPORNA
15 JULAI 1999
( RTM SABAH,  UNIT SIARAN PASUKAN KESELAMATAN )

GENERASI PERWIRAKU

Generasi perwiraku,
  Kau adalah harapan bangsa
    Pewaris perjuangan semalam
      Yang tiada akhirnya
         Untuk terus mara
           Meranapkan keganasan
              Yang bermaharajalela.

          Generasi perwiraku
          Langkahmu langkah perwira
          Bersama semangat kian membara
          Mengintai jejak petualang bangsa
          Yang menabur duri berbisa
          Kerana…….
          Bangsa durjana itu
          Ganas tak bermarwah
          Ingin meragut mahkota merdeka.

Generasi perwiraku
   Kaulah pembawa amanat dan kalimat
      Kerana kau bukan bangsa yang malang
         Yang hilang semangat merdeka
            Untuk terus mara
               Teruskan perjuanganmu
                  Pertahankan lembayung kemerdekaan
                     Kerana kemerdekaan
                        Milik rakyat Malaysia.

Generasi perwiraku
Kaulah pewaris perjuangan
Mempertahankan hak merdeka
Dari ancaman bangsa durjana
Yang tidak leka walau sedetik
Untuk terus menjajah

Berjuanglah ………..
Perwiraku ranapkan
Keganasan mereka.

Bangkitlah…..
Perwiraku tunjukkan pada mereka
Kita mampu untuk terus merdeka.

15 FEBRUARI  2000
( RTM SABAH,  UNIT SIARAN PASUKAN KESELAMATAN )
  

DOA RESTU UNTUK WIRAKU

Jangan kau khianati bangsamu
Hanya kerana pangkatmu
Kerana semuanya itu
Menjadi saksi
Kau adalah harapan bangsa
Untuk menjadi wira perkasa
Pertahankanlah lembayung kegagahanmu
Kerana…..
Aku dan bondamu
Menanti kepulanganmu
Di desa permai
Bersama teratuk tua
Yang kau tinggalkan sekian lama.

Di saat kusujud pada Ilahi
Kupohon restu kepadaNya
Kerana engkau sanggup
Berkorban nyawa
Engkaulah wiraku
Yang berjuang untuk nusa dan bangsa
Mengharungi onak duri
Ranjau berapi
Panas dan hujan
Menjadi teman silih berganti.

Demi kesejahteraan negara
Ku doakan agar perjuanganmu damai
Menjadi perwira gaagh
Menumpaskan musuh di mana saja
Moga perwiraku
Kembali dengan jaya.

KAMPUNG BAKUNG-BAKUNG, SEMPORNA

15 JULAI 1999
( RTM SABAH,  UNIT SIARAN PASUKAN KESELAMATAN )

JANGAN TANGISI PEMERGIANKU

Ibu,
Jangan tangisi pemergianku
Hanya kerana berjuang
Kerana tragedi malang
Masih subur
Di kala ayah tersungkur
Dek pengganas.

Ibu,
Bukan niatku mengingkari
Saban senja berlabuh
Tawa riang ayah menagih janji
Menagih sumpa perwira
Untuk menerjah ke lembah hitam
Bersama semangat juang.
Ibu,
Maafkan anakmu
Doakan anakmu
Demi menebus maruah
Bangsa dan negara
Relakan anakmu pergi
Pergi berjuang
Menentang petualang bangsa.
  
JETI KG. BALIMBANG, SEMPORNA
15  OGOS 1999
( RTM SABAH,  UNIT SIARAN PASUKAN KESELAMATAN )

AKUKAH PENAGIH SEPI?

Dan di kala senja
Melabuhkan tirainya
Dan malam
Menebar sayapnya
Lalu………
Sepi singgah menemani duka
Menoleh kenangan silam

Akukah penagih sepi?
Menghitung sisa-sisa waktu
Bertafakur di dada sejadah
Menanti pulangnya satriaku
Berjuang mempertahankan nusa dan bangsa.

Akulah penagih sepi itu,
Menanti kehadiranmu
Di hujung senja
Di tepian pantai
Menghitung desiran ombak
Bertebar membelah pantai

Saat yang kunantikan
Belum pasti menjanjikan kenangan
Kerana tugas perwira
Pertahankan bumi merdeka
Tiada sudahnya.

PONDOK PERHENTIAN BAS SK. SISIPAN, SEMPORNA

25  OGOS 1999
( RTM SABAH,  UNIT SIARAN PASUKAN KESELAMATAN )

PENULIS MULIA

Ketika langit pecah belah,
Ketika bintang-bintang bertebaran
Ketika lautan melimpah ruah
Dan ketika kuburan dibongkar nyata

Bisu …..
Sekadar mendongak langit biru,

Kaku ….
Tunduk mengintai suara bayu

Keliru….
Ke manakah arah dituju

Ingatlah……
Setiap amalan kita
Ada penulis mulia,
         
Tak pernah leka
          Walau seketika cuma

          Tak pernah ingkar
          Walau rasuah seisi dunia

          Tak pernah membabi buta
          Walau halangan merajahlela

Sesungguhnya….
Ketika langit pecah belah,
Ketika bintang-bintang bertebaran
Ketika lautan melimpah ruah
Dan ketika kuburan dibongkar nyata
Tak siapa yang dapat membela,
Kerana ……
Ketika itu
Hari Pembalasan telah tiba
Membongkar segala rahsia.
 
MASJID NEGERI KOTA KINABALU, SABAH
16  MEI  2006

KU LEWATI SENJA ITU

Betapa ku menanti bayu senja,
Bagai pungguk rindukan bulan purnama,
Lalu merebahkan
Dirinya pada ranting pepohonan,
Aku jadi resah
Dan tidak punya erti
Dalam dunia seni.

Aku pun melewati senja itu
Dengan fikir yang maha keliru
Tiada lagi siulan beburung
Melewati senja nan gersang
Walau dalam puisi setiaku
Tidak pernah mencoret
Kenangan silam
Dalam fikir yang usang

Senja itu berlalu pergi
Dan aku terhenti di sini
Melewati usia yang kian senja
Bertafakur…
Berzikir….
Munajat …..
Dalam kerinduan yang maha sepi
Mengharap maghfirah Ilahi.

KOTA BELUD, SEMPORNA
17  APRIL  2006

KERINDUAN

Andainya,
Burung bisa berbicara,
Akan kuluahkan kerinduan
Di hatiku.

Andainya,
Dedaunan bisa melamar sepiku
Akan kubawa berbicara
Satu persatu.

Andainya,
Pepohonan bisa meraih simpatiku,
Akan kujadikan teman karibku
Mengajar erti sebuah kerinduan.

Andainya,
Kau adalah aku,
Akan kucoretkan kenangan indah
Dalam puisi syahdu
Buat bingkisan hari mendatang
Sebagai sebuah kenangan
Dalam kerinduan
Di hujung malam.

RUANG GALERI PENULIS SABAH,SK. BUGAYA, SEMPORNA
15 MEI 2006

SUATU KEPASTIAN

Ketika pandangan semakin kacau,
Ketika bulan semakin kelam
Ketika bintang tiada sinarnya
Ketika mentari murung segala
Ketika bulan dan mentari
Bersatu keduanya
Alam baru tiba
Menyapa makhluk segala
Kembali kepangkuan KHALIKNYA.

Sesungghnya,
KAMI kumpulkan semuanya,
KAMI jelaskan urusan mereka;
          Tentang cinta dunia
                   Tentang cinta harta
          Tentang cinta kuasa
                   Tentang cinta takhta
          Tentang cinta sedeqah
                   Tentang cinta tazkirah
          Tentang cinta dakwah
Dan cinta segala cinta.

Dan ketika itu,
          Ada yang berwajah ceria
          Ada pula murung segala
Namun yang pasti,
          Neraca keadilan
          Penyukat amalan,
Adalah suatu kepastian,
DI HARI KEBANGKITAN

SEMPORNA, SABAH
15 MEI 2006
 

GELOMBANG BESAR

Ketika matahari telah digulung,
Dan cahayanya dipadam
Dunia kelam,
Tiada lagi sinar terang.

Ketika bintang-bintang jatuh berguguran
Dan cahayanya dipadam
Dunia kelam
Tiada lagi sinar terang.

Ketika gunung-ganang dibinasakan
Debu berterbangan tiada haluan

Ketika lautan bergelombang
Arus mengalir garang
Membawa siapa saja di hadapan
Dan manusia dikumpulkan
Dalam satu perdebatan.

Ketika buku-buku disebarkan
Dan langit dibuka tabirnya
Dan ketika api neraka dinyalakan
Dan ketika syurga didekatkan
Ketika itu……
Setiap insan  telah tahu nasib badan
Haluan kanan
Atau
Haluan kiri,
Maka celakalah haluan kiri
Dan
Bahagialah haluan kanan

KOTA KINABALU, SABAH
16 APRIL 2006

PANTAI  SATU

Di pantai ini,
Burung-burung singgah
Menjamah waktu
Yang kian lewat
Di persisir senja.

Seorang tua,
Bongkok bertongkat
Duduk longlai
Merenung jauh
Nun….
Di kaki langit
Yang kian kelam.

Di pantai ini jua,
Orang tua itu,
Masih gagah
Mengusung keranda kehidupan
Walau sisa hayatnya
Semakin hampir
Ke pinggir senja

KOTA KINABALU, SABAH
16 APRIL 2005

PANTAI  DUA

Pantai ini,
Menyaksikan gelora lautnya,
Mengasyikkan pandangan,
Mendamaikan hati,
Menyenangkan jiwa,
Meluhurkan budi
Menjiwai indahnya
Ciptaan Allah.

Seorang pemuda,
Segak bergaya,
Merenung sepuasnya
Keindahan alam maya,
Sambil melukis wajahnya
Di awan nan cerah.

Senja nan gersang,
Tepian pantai pun terang,
Angin tidak bertiup garang
Tidak seperti hari semalam,
Sekejap tenang
Sekejap taufan
Kadang-kadang hujan
Kadang-kadang kontang

Itulah hakikat kehidupan
Silih berganti
Mengikut aturan ILAHI RABBI

KOTA KINABALU, SABAH
16 APRIL 2005

HANYA  KALIAN

Anak-anakku,
Hanya kalian
Khazanah rindu,
Berpaut di hujung waktu
Menghitung lembaran semalam

Tidak terdaya rupanya
Melingkari jambatan waktu
Di ribaan usia senja,
Walau sekecil cuma
Membatasi riuhnya
Tawa,
Riang,
Sedih,
Pilu
Mengheret aku pulang
Ke perkampungan abadi.

Khazanah ini,
Diperelokkan budinya,
Jangan dipersia
Perjuangan semalam
Jadikan air sungai
Sentiasa mengalir
Sepanjang zaman. 

MASJID JAMI’, KUNDASANG, SABAH
06  JULAI 2005

KELANA

Suatu subuh hening,
Lahir seorang bayi,
Comel.

Detik hayatnya mua belayar,
Melewati tabir kehidupan
Mencari redha Ilahi
Walau sesingkat mana usianya
Walau selama mana usianya
Namun……
Ikrarnya,
Mendepani halangan waktu.

Renungkanlah warna kehidupan,
Setelah menghirup udara segar,
Wajarkah kita melewati batasan waktu
Dengan hayat, jiwa yang kosong.?

Diri ini hanyalah kelana sementara,
Ibarat menumpang sehari dua,
Sampai ketikanya,
Perpisahan terjadi jua,
Walau kadang-kadang,
Tidak dipinta.

Diri ini jua,
Hanyalah kelana perantau sepi,
Merentas onak dan duri
Mengharap takdir Ilahi
Menuju mahligai abadi.

MIMPIAN JADI RESORT, TUARAN, SABAH
13  DISEMBER 2005

WAKTU

Waktu,
Pasti akan berlaku.

Waktu,
Pasti akan berlalu,

Waktu,
Pastikan akan mencoret kenangan lalu,

Waktu,
Pasti akan ditungg-tunggu

Waktu itu,
Mengajak aku berpacu
Melangkah dengan laju
Kerana…….
Di hadapan sana bermacam-macam waktu.

Ada waktu senang,
Ada waktu susah,
Ada waktu kaya,
Ada waktu papa,
Ada waktu muda,
Ada waktu tua,
Ada waktu hidup,
Ada waktu mati.

Tapi beringatlah…..
Waktu senang,
Buat kerja tenang
Waktu kaya
Bantu orang susah.
Waktu muda
Rajin-rajin beribadah
Waktu lapang
                   Bereskan pekerjaan
Waktu hidup
Jangan terkutuk

Urus waktu dengan tenang,
Kelak dipanggil pulang,
Pergi dengan wajah Khusnul Khotimah

SEMPORNA, SABAH
16 JUN 2000

BERINGAT

Beringatlah,
Saat ketikanya pasti akan tiba,
Tidak akan lambat,
Walau sedetik cuma,
Tidak akan laju,
Walau sedetik cuma.

Beringatlah,

M
          A

                   T

                             I

Pasti akan terjadi.

KOTA KINABALU, SABAH
12 JUN 2006

USAM

Riuh di padang nurani,
Gemersik hati sayu,
Kerdil dalam pilu
Sepi…sepi….sepi!

Tasik gemersik layu
Hadirnya tiada menentu
Dalam dakap waktu
Kau usam yang keliru
Menangis hiba
Menanti janji palsu
 

DBP, SABAH 13 JUN 2006

TAK TAHU 

Bingung…bingung…..bingung,
Hatiku bingung,

Keliru…..keliru…..keliru,
Hatiku celaru,

Susah…..susah…..susah,
Hatiku sayu,

Resah….resah….resah,
Hatku gelisah,

kerana aku tak tahu.

Bingung kerana pertama kali melangkah,
          Keliru kerana itu tempat baru,
Susah kerana malu bertanya
Resah kerana semua orang telah melangkah
Menuju pusat Bandar Raya.

KOTA KINABALU, SABAH
13 JUN 2006

JASAD KAKU

Lewat,
Mentari menegak,
Datang seorang lelaki
Sayu,
          Pilu,
                   Langkah longlai.

Aku berlari anak,
Mendakap lelaki itu,
Aku pun..
Sayu,
          Pilu,
                   Tertunggug-tunggu.

Lelaki itu,
Mengajak aku pulang,
Mengajak aku bertenang,
Mengajak aku bersenang-senang,
Tapi aku tetap tertunggu-tunggu,
Apa hajat lelaki itu.

Lelaki itu,
Mengajak aku pulang ke kampung halaman
Dan aku pun ikut dengan senang-senang.

Di halaman rumah,
Manusia berduyunan,
Melangkah satu-satu,
Ada yang sayu,
Ada yang pilu,
Ada yang resah,
Ada yang susah,
Ada yang gelisah

Aku hampiri halaman rumah
Dengan hati penuh tanya,
Ada yang melambai,
Ada yang senyum,
Ada yang mendakap satu-satu.
 
Tangga usang,
Ku pijak satu-satu,
Melangkah mencapai tuju,
Ku lihat manusia bertangisan
Berendam air mata pilu,
Aku semakin keliru,
Ku toleh kanan,
Ku toleh kiri,
Manusia masih bertangisan,
Berpelukan satu-satu.
Di satu sudut,
Ku lempar pandangan,
Dan ku lihat,
Sekujur jasad kaku,
Diselimuti kain baru.

Seketika berduyunan,
Mak,
Abang,
Kakak,
Adik,
Dan semua keluargaku,
Mendakap pilu,
Bertangisan satu-satu,
Aku tersedu,
Air mata pilu jatuh satu-satu.

Mak berkata “ Ayahmu sudah tiada lagi ”

Ku lihat,
Alam kelam,
Aku pun jatuh pengsan,
Dalam tangisan,
Jasad kaku itu rupanya ayahku,
Ku dongok langit biru,
Seakan senyum padaku
Mengucap….
Selamat datang ayahmu ke alam baru,
Ku tadah tangan,
Mohon restu,
Moga rohnya,
Menghadap TUHAN dengan tenang,
Dan ku hadiahkan UMMUL KITAB AL-FATIHAH

SEMPORNA, SABAH
16 JUN 2006

ARUS USIA

Satu detik,
Adalah usia berlalu,
Menyulam sejarah waktu
Berpusing merentas zaman
Tak mungkin undur
Diheret arus usia
Walau sedetik cuma

SEMPORNA, SABAH
19 JUN 2006